Letupan Kuat Mengegarkan Pulau Indah, Klang, 7 Anggota Bomba Tercedera!

Sumber video TV3 Malaysia

Tujuh anggota bomba cedera termasuk dua dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang, termasuk sebuah kilang racun rumpai, di Pulau Indah, petang semalam 5 Julai 2019.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Norazam Khamis, berkata, ketika ini dua anggota masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, manakala empat lagi mendapat rawatan pesakit luar.

“Ketika kejadian, berlaku letupan dari bahan yang terbakar. Berlaku sedikit runtuhan dan serpihan batu menimpa seorang mangsa, manakala empat anggota lain mengadu berasa berdengung telinga.”

Rakaman Netizen Kejadian Kebakaran dan Letupan

“Seorang lagi anggota terjatuh ketika mengalihkan hos. Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob mengalami kecederaan di kaki, manakala anggota BBP Pelabuhan Klang, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman melecur di telinga selain muntah selepas dipercayai terhidu gas beracun dan mengalami gejala pening.

“Lima lagi anggota lain, Mohammad Hazreen Mazlan; Mohammed Wahyuddin Mohd Saibani; Mohammad Izwan Salleh; Ahmad Ridzwan Awang dan Mohd Shahrul Azuan Salleh, semuanya diberikan cuti sakit dan membuat pemantauan sendiri di rumah,” katanya kepada pemberita.

Norazam berkata, mereka yang cedera adalah antara 60 anggota dan pegawai yang terbabit dalam pemadaman kebakaran berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.37 petang semalam, membabitkan kebakaran tiga kilang di kawasan perindustrian di Pulau Indah, Pelabuhan Barat.

Rakam Netizen Melalui DashCam Kenderaan.

“Anggota dari lima BBP memadamkan kebakaran berkenaan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Westports, Polis Westports, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Tiba di lokasi kejadian, pasukan kami mendapati ia membabitkan tiga kilang kelas A berkeluasan 5,574 meter persegi.

“Sebuah kilang terbakar 100 peratus, manakala dua lagi masing-masing terbakar 50 peratus. Kebakaran dapat dikawal daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sumber berita : Berita Harian & Harian Metro.

DahViral!

Berperanan sebagai ketua editor dan teknikal pasukan dah viral.

You may also like...