Tips Sebelum, Semasa Dan Selepas Menghadiri Temuduga

SEBELUM HARI TEMUDUGA

1.SEDIAKAN SEMUA MAKLUMAT BERKAITAN KERJA YANG DIPOHON.

Mencari maklumat dan membuat sedikit research berkaitan latarbelakang syarikat tersebut. Kenali siapa bakal majikan anda.

2. SEDIAKAN DOKUMEN YANG HENDAK DIBAWA

Pastikan anda telah menyediakan segala kelengkapan dokumen dalam bentuk asal dan juga salinan fotokopi resume, sijil serta salinan ic. Susun sijil mengikut turutan. Pastikan resume anda berada dalam keadaan yang baik.

Semasa menghadiri temuduga, jangan lupa untuk membawa beberapa salinan resume anda. Panel penemuduga mungkin akan meminta sesalinan resume anda. Berikut merupakan turutan sijil serta pencapaian yang boleh anda lakukan.

•             Resume

•             Salinan kad pengenalan

•             Sijil kelahiran

•             Sijil SPM

•             Surat berhenti sekolah

•             Sijil pencapaian semasa diperingkat Sekolah

•             Transkrip Diploma

•             Sijil pencapaian semasa di peringkat Universiti

•             Transkrip Ijazah

•              Sijil pencapaian semasa di peringkat Universiti

Jangan lupa bawa pen ya.. Sebelum temuduga, anda mungkin akan diminta untuk mengisi beberapa borang pengenalan diri.

3.MERANCANG PERJALANAN

Sebelum menghadiri temuduga pastikan anda telah mengenalpasti tempat yang hendak dituju dan membuat anggaran tempoh perjalanan untuk mengelakkan anda sesat. Seeloknya anda tiba lebih awal sekurang-kurangnya 30 minit sebelum temuduga bermula.

4. BERPAKAIAN KEMAS DAN BERSESUAIAN.

Pakaian mencerminkan keperibadian anda oleh itu pastikan pakaian anda adalah dalam bentuk business formal atau business casual. Kebiasaannya penemuduga akan membuat tanggapan pertama hanya dari melihat pakaian yang anda kenakan untuk sesi temuduga. Antara etika pakaian semasa temuduga adalah :

•     Berpakaian formal. Elakkan dari memakai jeans dan tshirt.

•     Elakkan pakai pakaian baju yang sendat, ketat dan seksi yang menjolok mata.

•     Elakkan memakai pakaian yang berwarna terang.

•     Pastikan anda memakai stokin berwarna hitam atau coklat. Elakkan dari memakai stokin yang bercorak.

•     Pakai kasut yang bertutup, jangan memakai sandal atau selipar.

Bagi calon lelaki, pastikan tidak berambut panjang. Baju kemas serta kemeja dimasukkan ke dalam baju.

Bagi calon wanita, sebolehnya pakailah baju kurung kerana baju kurung sesuai untuk banyak keadaan. Tambahkan dengan blazer berwarna gelap. Seluar panjang atau skirt labuh melebihi paras lutut juga boleh dikenakan.

5.BERDOA

Bagi yang muslim, jangan lupa solat Dhuha. Kurangkan rasa gemuruh dengan mengamalkan doa sebelum masuk ke bilik temuduga dan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

SEMASA MENGHADIRI TEMUDUGA

  • MEMBERI SALAM DAN DUDUK DALAM POSTUR YANG BETUL.

Apabila nama anda dipanggil untuk masuk ke bilik temuduga, jangan terus duduk ya.. Berikan salam serta berjabat tanganlah jika penemuduga anda adalah sama jantina dengan anda, selepas itu barulah minta kebenaran untuk duduk. Elakkan daripada masuk ke bilik dan terus duduk. Semasa ditemuduga, cara anda duduk juga akan menentukan sama ada anda akan diambil bekerja atau tidak. Pastikan anda duduk dengan tegak sambil merapatkan kaki. Letakkan kedua-dua tangan di atas riba serta elakkan daripada menggoyangkan kaki, menjarakkan kaki seperti kelihatan terkangkang dan elakkan daripada terlalu kerap bergerak.

  • ‘EYE CONTACT’

Ini merupakan antara benda yang penting diantara penemuduga dan anda. Semasa anda menjawab soalan elakkan untuk memandang kaki sendiri, memandang lantai,dinding atau tingkap.

INI MERUPAKAN ANTARA SOALAN YANG BIASA DIAJUKAN OLEH PANEL TEMUDUGA :

  • CERITAKAN SERBA SEDIKIT TENTANG DIRI ANDA

Biasanya temuduga akan dimulakan dengan soalan ini sebagai ice breaking sebelum anda diajukan dengan soalan lain. Soalan ini amat penting kerana ia merupakan ‘first impression’ bakal majikan mengenai anda. Seeloknya, ceritakanlah tentang diri anda secara ringkas dan padat. Selitkan pencapaian, bakat serta pengalaman jika anda pernah terlibat dengan bidang serta projek yang menarik. Elakkan dari bercerita mengenai perkara yang remeh seperti hobi atau minat serta benda yang tida kaitan dengan kerja yang dipohon.

  • NYATAKAN SEBAB KENAPA ANDA INGIN BEKERJA DI SINI?

Soalan ini boleh dikatakan antara yang paling mencabar kerana jawapan yang anda berikan mencerminkan pengetahuan anda mengenai jawatan serta syarikat tersebut. Pastikan anda tahu mengenai skop kerja yang bakal anda lakukan nanti.

  • APAKAH PERANAN ANDA DI TEMPAT KERJA YANG TERDAHULU

Huraikan tanggungjawab anda dalam jawatan yang lalu secara positif dan spesifik. Dengan ini ia akan membuatkan  bakal majikan anda faham setakat mana pendedahan anda terhadap bidang kerja yang telah diceburi dan dapat menilai pengalaman anda. Jika jawatan yang dipohon belum anda kuasai cubalah yakinkan panel dengan mengatakan yang anda bersedia untuk mempelajarinya.

  • APA YANG ANDA LAKUKAN SEMASA ANDA MENGANGGUR

Berikan alasan yang anda memanfaatkan masa tersebut dengan aktiviti yang bermanfaat. Ceritakan juga jika anda pernah libatkan diri dalam kerja-kerja amal dan bekerja sebagai part-time.

  • APAKAH KELEBIHAN ANDA

Ini merupakan antara soalan yang kerap ditanyakan oleh panel penemuduga. Tonjolkan kelebihan yang ada pada diri anda. Nyatakan sikap professional yang anda miliki. Sikap professional dapat membantu dalam menyelesaikan tugasan. Diantara contoh sikap professional adalah seperti menepati waktu kemahiran berkomunikasi, , berkemahiran memimpin, berfikiran aras tinggi, dan lain-lain lagi. Yakinkanlah panel tersebut bahawa anda mahu belajar dan akan lakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang memegang jawatan tersebut.

  • APAKAH KELEMAHAN ANDA?

Walaupun anda mempunyai kelemahan jangan sesekali nyatakan kelemahan itu dan menunjukkan bahawa anda mudah berputus asa. Tunjukkan bahawa walaupun anda memiliki kelemahan tersebut anda tetap akan berusaha untuk mengatasi kelemahan tersebut. Pastikan anda sentiasa menonjolkan sikap positif dan ingin memperbaiki diri walaupun anda mempunyai kelemahan.

  • GAJI YANG DIINGINKAN ( EXPECTED SALARY)

Panel penemuduga kebiasaanya akan bertanya calon temuduga berapa nilai gaji yang diinginkan walaupun inilah kali pertama calon bekerja. Jika anda tidak pasti mengenai nilai gaji bagi jawatan tersebut bolehlah membuat sedikit research dan tengok gaji semasa bagi jawatan yang dipohon tersebut. Letaklah nilai gaji yang berpadanan dengan kemahiran dan etika kerja tersebut.

  • SITUASI KERJA YANG MENCABAR DAN CARA MENANGANINYA

Biasanya soalan ini ditujukan kepada anda adalah kerana untuk menguji dan mengetahui cara serta kebolehan anda berhadapan dengan situasi sukar atau stress . Ia juga dapat menjelaskan sedikit sebanyak tentang cara anda bertindak dalam keadaan kritikal jika diambil bekerja pada masa hadapan. Cuba untuk berikan contoh yang kukuh yang pernah anda hadapi dan bagaimana cara anda tanggani masalah tersebut. Sebagai contoh, “Saya akan cuba untuk fokus pada tindakan yang perlu diambil dan akan berusaha untuk mengawal situasi tersebut.” Pastikan jawapan yang anda berikan tersebut memberikan impak positif kepada diri anda sendiri.

  • APA YANG ANDA TAHU MENGENAI SYARIKAT INI?

Pengetahuan anda yang luas dalam syarikat serta tugas jawatan yang anda pohon bakal memberikan kelebihan buat anda. Adalah sangat penting untuk anda memiliki pengetahuan yang luas tentang syarikat yang memanggil anda temuduga itu. Dengan itu, panel penemuduga akan menganggap anda sangat berminat dengan pekerjaan tersebut dan akan menganggap anda sebagai seorang yang bermotivasi. Pelbagai medium yang boleh anda gunakan untuk mencari maklumat jawatan serta syarikat yang dipohon contohnya seperti internet, laman sesawang syarikat tersebut (website), survey dan sebagainya.

  • PERANCANGAN MASA HADAPAN

Panel temuduga biasanya akan tengok samaada anda mempunyai perancangan untuk masa hadapan atau tidak Jadi cubalah untuk memberikan serta kaitkan matlamat masa hadapan anda dengan syarikat tersebut. Sebagai contoh anda ingin menurut serta dan terlibat dengan projek mega syarikat tersebut. Dengan memberikan jawapan seumpama ini panel akan beranggapan bahawa anda berminat untuk membina karier di syarikat tersebut.

  • KENAPA ANDA INGIN BERPINDAH TEMPAT KERJA

Anda tidak perlu risau jika panel temuduga mengajukan soalan ini kepada anda kerana panel tersebut hanya ingin mengetahui sebab-sebab anda bertukar kerja. Jawapan anda kepada soalan ini haruslah dijawab secara professional. Berikan jawapan yang jujur tetapi tukarkanlah kenyataan anda supaya tidak menunjukkan sebarang sifat negatif dan elakkan  dari bercerita keburukan ditempat kerja lama anda.

Jika anda merupakan graduan fresh graduate dan tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja, anda boleh nyatakan pengalaman latihan industri atau pengalaman kerja part-time yang pernah anda lakukan.

  • ANDA ADA APA-APA SOALAN?

Biasanya penemuduga mengharapkan anda untuk memberikan soalan yang bernas untuk mendapatkan point bonus. Jadi cuba untuk berikan soalan yang bernas berdasarkan kajian yang telah anda lakukan mengenai jawatan serta syarikat tersebut.

SELEPAS TEMUDUGA

  • Berterima Kasih

Ucapkanlah terima kasih diatas masa yang telah mereka luangkan kepada anda dan berjabat tangan sekiranya perlu.

Ketika menjawab soalan pastikan emosi anda terkawal dan elakkan dari melakukan sebarang kesalahan seperti bercakap terlalu cepat atau terburu-buru hingga menyebabkan panel terlepas isi percakapan anda. Jangan kunyah chewing gum atau gula-gula semasa ditemuduga. Jawablah pertanyaan panel temuduga dengan tenang. Semoga artikel ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada anda. Semoga Berjaya!

You may also like...