DDR5 : 2 Kali lebih pantas!
Kemunculan DDR4 pada tahun 2014 mengubah percaturan dunia perkomputeran dengan mengatasi dua kali ganda kuasa berbanding generasi terdahulu iaitu DDR3 (dikomersialkan pada 2007). Berdasarkan artikel yang terdapat di beberapa buah laman web, DDR5 dijangka akan dipasarkan pada penghujung tahun 2021 dengan kepantasan 2 kali ganda berbanding DDR4.
Jenis Modul RAM | Tahun Keluaran | Volt | Kadar Pemindahan “Transfer Rate” |
DDR5 | Jangkaan hujung 2021 | 1.1 | 6400 – ??? MHz |
DDR4 | 2014 | 1.2 | 1600 – 3200 MHz |
DDR3 | 2007 | 1.5 | 800 – 2133 MHz |
DDR2 | 2003 | 1.8 | 400 – 1066 MHz |
DDR | 2000 | 2.5 | 200 – 400 MHz |
Sumber rujukan DDR – DDR4 : wikipedia ,
Ketersediaan
Figur DDR5 yang dipaparkan di atas adalah kadar yang dijangka berdasarkan sumber daripada laman JEDEC. Dua syarikat terkemuka, Samsung dan Hynix telah merancang untuk memasarkan produk DDR5 menjelang akhir tahun 2021 dimana Samsung akan menumpukan pada pengeluaran peranti mudah alih, manakala SK Hynix akan memfokuskan pasaran Desktop.
Peralihan ini akan mengambil sedikit masa secara berperingkat. SK Hynix menjangkakan pasaran DDR5 akan menguasai 25 peratus pasaran menjelang 2021 dan diperluaskan kepada 44 peratus menjelang tahun 2022.
Harga
Kali pertama modul ram DDR4 diperkenalkan, harga pasaran bagi RAM tersebut terlalu tinggi dan mencecah hingga ribuan ringgit, dan trend yang sama akan terjadi pada kemunculan DDR5. Ini disebabkan, kadar permintaan yang tinggi, dan stok yang terhad, membuatkan harga pasaran melonjak naik, sepertimana yang terjadi pada pasaran ‘Processor’ sekarang.
Walaubagaimanapun, bagi mereka yang ingin memiliki set komputer baharu, ini adalah berita gembira dimana harga pasaran bagi DDR4 pasti akan menjunam, berikutan peniaga ingin mengosongkan stok lama dan memasukkan stok baru. Kita bakal lihat penurunan yang sama bagi ‘Motherboard’ sekiranya DDR5 menggunakan slot yang berbeza berbanding DDR4.
Prestasi dan kuasa
Seperti kita bincangkan di atas, DDR5 mempunyai prestasi dua kali ganda berbanding DDR4, dan berkemungkinan menggunakan tenaga elektrik yang lebih rendah. Pastinya ini memberi kelebihan sekiranya penguna ingin ‘overclocking’ DDR5 mereka ke satu tahap lebih tinggi. Dengan kapasiti yang lebih tinggi pasti akan memberi peningkatan prestasi pada sistem yang memiliki jumlah ‘CPU core’ yang tinggi.